{ font-family: 'Flavors', cursive; }

Tuesday, 12 April 2011

LIHATLAH DENGAN MATA HATI-karya along saya....FINALE

LIHATLAH DENGAN MATA HATI~finale


     Agak lama bermain air, barulah Jannah keluar dan duduk di atas batu. Tangannya bermain-main memercik air. Sekali sekala dia ternampak ranting kayu dan daun kering di bawa arus deras air. Berputar-putar melalui celahan batu dan tenang semula berlalu mengikut arus. Perutnya sudah berkeroncong minta diisi.Terbayang-bayang keenakan nasi lemak buatan neneknya. Dia angkat kaki dan mendapatkan datuknya yang sedang melambai ke arahnya. 




     " Sudah puas bermain air? Tengok tu sampai kecut-kecut kaki kerana berendam," tegur Tok Ki. Jannah hanya tersengih sambil membuka bekalan yang dibawa. Semerbak bau nasi lemak membangkitkan selera Jannah untuk makan. Di cucinya tangan dan makan dengan selera bersama datuknya.

     Sedang enak menjamah selera, tiba-tiba Jannah teringat kata-kata Tok Ki tentang melihat alam menggunakan mata hati. Lantas dia bersuara " Tok Ki bukankah Tok Ki dah berjanji nak memberitahu Jannah bagaimana melihat alam dengan mata hati."


     Tok Kinya yang sedang menghirup air kopi berhenti seketika. " Jannah, ramai orang melihat alam dengan mata hanya melihat cantiknya alam dan keindahannya tetapi tidak merasa keagungan pencipta-Nya," terang Tok Ki.


     " Alam yang serba indah ini dicipta oleh kuasa agung yang tiada tandingannya. Ramai manusia meneroka dan menggali rahsia Alam, tetapi hati mereka tidak tunduk kepada Allah," tambah Tok Ki.
       Anak mata Jannah dibesarkan dan telinganya mendengar dengan teliti kata-kata Tok Ki. Dia tidak mahu ada maklumat yang tertinggal. " Teruskan Tok Ki, seronok Jannah mendengar," celah Jannah.

     " Kita mampu mengalirkan air mata jika melihat alam dengan mata hati. Betapa telitinya Allah mencipta alam ini dengan sistem yang teratur, untuk makhluk bernama manusia. Manusia juga dikurniakan akal untuk mentadbir alam dengan baik. Lihat betapa kasihnya Allah kepada  kita. Tetapi, kita sering membuat dosa dan lupa kepada-Nya,'' terang Tok Ki lagi. Jannah melihat wajah Tok Ki yang nampak suram.

     Kini, Jannah mengerti memerhatikan alam dengan mata hati boleh mendatangkan keinsafan dan menguatkan keimanan. Mata hatinya akan dibuka seluas-luasnya agar tidak buta daripada melihat kebesaran Allah. Mutiara Tok Ki akan diingatnya sampai bila-bila.

     Tidak semena-mena Jannah memeluk Tok Ki dan manik-manik halus perlahan-perlahan menitis ke pipinya.


~TAMAT~

Hak Cipta Terpelihara

No comments:

Post a Comment

~

~