LIHATLAH DENGAN MATA HATI~ bab 1
karya asli oleh: NOORJEHAN BT BAHARUDIN
diolah oleh: ZALINA BT BAHARUDIN
Api menjulang tinggi meratah longgokan dedaun kering di halaman rumah Tok Ki. Asap berkepul-kepul naik menjulang ke udara. Sekali sekala asap tadi ditiup angin dan beralih arah. Jannah cepat-cepat melonggokkan daun-daun kering yang tidak terkena api dengan ranting kecil di tangannya. Terasa perit wajahnya terkena bahang bakaran api. " Masya Allah! bagaimana agaknya tak tertahan panas bakaran api neraka. Bahangnya sahaja aku sudah terasa perit." Jannah bercakap sendiri.
Leka sungguh Jannah membakar sampah sambil memerhatikan api dengan rakusnya meratah dedaun kering. Hampir separuh longgokan daun yang dikumpulkannya telah dijilat api. Sekali sekala dia terbatuk-batuk kecil kerana terhidu asap yang dibawa angin ke arahnya. Dia teringat sebuah hadis kudsi Rasullullah yang berbunyi," Sesungguhnya HASAD DENGKI memakan amal kebaikan seperti api yang memakan kayu."
Lamunannya terhenti kerana dia terdengar teriakan Tok Ki memanggil-manggil namanya.'' Jannah, Jannah sudahlah tu, mari minum dengan Tok Ki dan nenek ni. Nenek kamu ada buatkan pengat pisang kesukaan kamu ni.''
Terdengar sahaja pengat pisang, tanpa berlengah-lengah terus sahaja dia berlari-lari kecil meluru ke arah pangkin tempat Tok Ki nya melepaskan lelah. Pangkin yang terletak di bawah pohon rambutan itu memang tempat Jannah duduk-duduk dengan Tok Ki dan nenek kesayangannya. Udaranya nyaman dan terlindung daripada terik matahari.
Cuti-cuti sekolah begini memang dia akan pulang ke kampung menziarahi datuk dan nenek kesayangannya. Dia tidak mempunyai adik-beradik yang lain. Jika duduk di rumah pun tiada sesiapa yang menemaninya. Ibu dan ayahnya bekerja. Jadi, dia lebih gemar bermesra dengan datuk dan neneknya di kampung.
'' Makanlah puas-puas Jannah pengat tu. Nenek memang buatkan khas untuk kamu,'' ucap nenek sambil menghulurkan semangkuk pengat pisang yang masih panas ke arah Jannah. Jannah menyambut huluran neneknya dengan senyuman lebar.
'' Makan jangan lupa baca bismillah Jannah. Nanti kamu makan bertemankan SYAITAN,'' pesan Tok Ki. Memang dia hampir-hampir terlupa membaca bismillah. Mujur datuknya cepat-cepat mengingatkannya. Jannah menadah tangan dan berdoa." Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Ya Allah, berkatilah rezeki yang telah Engkau kurniakan kepada kami dan jadikanlah kami dalam kalangan orang-arang yang beriman." Jannah mengucapkan terima kasih kepada neneknya kerana membuatkannya pengat pisang yang sungguh enak.
Suasana sunyi seketika kerana masing-masing leka menikmati pengat pisang buatan nenek. Hanya kedengaran sekali sekala ciapan burung dan kokokan ayam jantan yang memecah sunyi petang itu. Suara alam memang mengasyikkan. Siulan burung bersahut-sahut pulang ke sarang. Menyanyi lagu riang bersama kantung perut yang sarat berisi rezeki kurniaan Allah. Subhanallah. Maha Suci Allah yang menciptakan Alam dengan keindahan dan kenikmatan.
Tiba-tiba Jannah bersuara," Tok Ki, Jannah rasa esok pagi nak ke air terjun di hujung kampung kitalah tok. Rindu betul Jannah nak menikmati dingin air terjun tok."
Kamu nak pergi dengan siapa? Nak ke tempat begitu mesti bertemankan orang dewasa. Bahaya jika berseorangan, Jannah." Ada tanda gusar pada wajah Tok Ki. " Jangan risau tok, Jannahkan ada Allah dan tok yang setia menemani," balas Jannah.
Tersenyum Tok Ki mendengar gurauan cucu tunggalnya itu. Neneknya pun turut tersenyum dan mengurut tanda lega. Cucunya ini memang ada-ada sahaja keletahnya. Sebab itulah bila Jannah tiada, Tok Ki dan neneknya terasa kesunyian di kampung.
"Jadi,Tok Ki nak ikut Jannahlah ni? Marilah Tok, kita menikmati keindahan ciptaan Alam ciptaan Allah. Moga-moga bertambah iman kita tok," gurau Jannah sambilmengenyitkan mata,mengusik Tok Ki nya. Neneknya hanya melihat sahaja kerenah mereka berdua.
'' Baiklah Jannah. Tok Ki ikut. Lagipun sudah lama Tok Ki tak ke sana. Betul kata Jannah, Allah memang menggalakkan kita memerhatikan alam ciptaan-Nya supaya kita yang diberi akal berfikir tentang kebesaran Allah," ucap Tok Ki kepada Jannah tanda setuju.
" Tok, ustaz Jannah di sekolah juga pernah memberitahu , Allah menyuruh kita memerhatikan kejadian alam semesta. Antaranya kejadian langit yang tidak bertiang, gunung-ganang yang berdiri teguh dan bumi yang terhampar luas....kerana semua ciptaan Allah ni tanda kasih-Nya kepada manusia," ucap Jannah penuh semangat. Lagaknya seperti penceramah di televisyen.
Tok Ki menambah," Lihatlah alam dengan mata hati Jannah," Tok Ki berhenti di situ. Sengaja dia tidak menerangkannya kepada Jannah. Biar Jannah tertanya-tanya bagaimana hendak melihat alam dengan mata hati. Biar Jannah berfikir. Biar Jannah merenung jauh memikirkan jawapannya.
bersambung........
Hak Cipta Terpelihara
No comments:
Post a Comment