{ font-family: 'Flavors', cursive; }

Tuesday, 12 April 2011

LIHATLAH DENGAN MATA HATI-karya along saya....FINALE

LIHATLAH DENGAN MATA HATI~finale


     Agak lama bermain air, barulah Jannah keluar dan duduk di atas batu. Tangannya bermain-main memercik air. Sekali sekala dia ternampak ranting kayu dan daun kering di bawa arus deras air. Berputar-putar melalui celahan batu dan tenang semula berlalu mengikut arus. Perutnya sudah berkeroncong minta diisi.Terbayang-bayang keenakan nasi lemak buatan neneknya. Dia angkat kaki dan mendapatkan datuknya yang sedang melambai ke arahnya. 




     " Sudah puas bermain air? Tengok tu sampai kecut-kecut kaki kerana berendam," tegur Tok Ki. Jannah hanya tersengih sambil membuka bekalan yang dibawa. Semerbak bau nasi lemak membangkitkan selera Jannah untuk makan. Di cucinya tangan dan makan dengan selera bersama datuknya.

     Sedang enak menjamah selera, tiba-tiba Jannah teringat kata-kata Tok Ki tentang melihat alam menggunakan mata hati. Lantas dia bersuara " Tok Ki bukankah Tok Ki dah berjanji nak memberitahu Jannah bagaimana melihat alam dengan mata hati."


     Tok Kinya yang sedang menghirup air kopi berhenti seketika. " Jannah, ramai orang melihat alam dengan mata hanya melihat cantiknya alam dan keindahannya tetapi tidak merasa keagungan pencipta-Nya," terang Tok Ki.


     " Alam yang serba indah ini dicipta oleh kuasa agung yang tiada tandingannya. Ramai manusia meneroka dan menggali rahsia Alam, tetapi hati mereka tidak tunduk kepada Allah," tambah Tok Ki.
       Anak mata Jannah dibesarkan dan telinganya mendengar dengan teliti kata-kata Tok Ki. Dia tidak mahu ada maklumat yang tertinggal. " Teruskan Tok Ki, seronok Jannah mendengar," celah Jannah.

     " Kita mampu mengalirkan air mata jika melihat alam dengan mata hati. Betapa telitinya Allah mencipta alam ini dengan sistem yang teratur, untuk makhluk bernama manusia. Manusia juga dikurniakan akal untuk mentadbir alam dengan baik. Lihat betapa kasihnya Allah kepada  kita. Tetapi, kita sering membuat dosa dan lupa kepada-Nya,'' terang Tok Ki lagi. Jannah melihat wajah Tok Ki yang nampak suram.

     Kini, Jannah mengerti memerhatikan alam dengan mata hati boleh mendatangkan keinsafan dan menguatkan keimanan. Mata hatinya akan dibuka seluas-luasnya agar tidak buta daripada melihat kebesaran Allah. Mutiara Tok Ki akan diingatnya sampai bila-bila.

     Tidak semena-mena Jannah memeluk Tok Ki dan manik-manik halus perlahan-perlahan menitis ke pipinya.


~TAMAT~

Hak Cipta Terpelihara

LIHATLAH DENGAN MATA HATI-karya along saya....BAB 2

LIHATLAH DENGAN MATA HATI~bab  2



     "Nanti dulu Tok Ki, melihat dengan mata hati? Hati kita ada mata ke Tok Ki?" terpinga-pinga Jannah memikirkan kata-kata Tok Ki nya.
     " Hati kita tiada mata Jannah, tetapi melihat dengan mata hati adalah dengan melihat dengan keimanan dan keinsafan. Maghrib pun dah nak masuk, eloklah Tok Ki jelaskan pada Jannah  di air terjun esok."

     Tok Ki, nenek dan Jannah meninggalkan pangkin setelah puas berbual di bawah pohon rambutan yang rendang. Jannah memang suka berbual dengan Tok Kinya  kerana datuknya banyak sering memberikan bekalan ilmu untuk mengisi rongga hati yang gersang dan tandus.

     Jannah teringat kata-kata Tok Kinya dahulu ketika dia di kebun bersama datuknya membaja cili. " Tanaman perlu dibaja dan disiram dengan air agar membesar dan tumbuh dengan baik. Begitu juga hati kita Jannah,perlu dibaja dan disiram dengan nasihat berguna. Barulah hati tidak mati,'' ucap Tok Ki sambil tangannya ligat menabur baja di sekeliling pokok.

     "Tok Ki hendak ke surau. Jannah solat dengan nenek ya. Jangan lupa tidur awal sebab esok kita hendak ke air terjun," pesan Tok Ki.
    

     "Baiklah Tok Ki, malam ni Jannah tidur awal, esok Jannah nak bangun awal tolong nenek buat sarapan dan bekal ke air terjun.Tak sabar rasanya Jannah nak ke sana melihat dengan mata hati," tokok Jannah. Cucunya ini memang suka bergurau.


     Mereka menuju ke kawasan air terjun dengan menaiki motor. Deruman enjin motor Tok Ki memecah kesunyiaan pagi. Suasana dingin mencengkam hingga ke tulang. Di dalam bakul, berisi bekalan nasi lemak, dan air kopi buatan neneknya buat mengisi perut ketika lapar nanti. Tangan kanan Jannah mengapit dengan erat tikar anyam yang untuk dibuat alas duduk di air terjun.

     Jannah melihat ke kiri dan ke kanan jalan. Pohon-pohon menghijau menyejukkan pandangan matanya. Dia dapati, masih ada kesan embun pada dedaun di pokok yang berada tidak jauh daripada mereka. Sungguh segar mata memandang. Subhanallah! Maha Suci Allah yang menciptakan keindahan.


     Apabila sampai, Tok Ki memilih kawasan air terjun yang sedikit terlindung daripada pandangan orang ramai. Tok Ki membentang tikar di atas tanah dan meletakkan bekalan mereka di atas tanah. Tok Ki menanggalkan selipar agar tikar tidak kotor. Jannah sudah tidak sabar hendak bermain air. Dia pantas meluru ke gigi air."Ingat Jannah banyakkan berzikir di sini. Semua makhluk Allah tidak henti-henti berzikir dan bertasbih kepada Allah. Air, pokok, unggas, serangga, angin semuanya bertasbih kepada Allah. Taat dan patuh," pesan Tok Ki.


     Jannah menganggukkan kepalanya tanda faham. Cepat-cepat dia masuk ke dalam air untuk melepaskan rindunya pada kedinginan air terjun. Tok Ki hanya melihat gelagat Jannah dari jauh. Gelagat Jannah diamatinya puas-puas.


bersambung...............

Hak Cipta Terpelihara
 

Monday, 11 April 2011

LIHATLAH DENGAN MATA HATI-karya along saya....BAB 1

LIHATLAH DENGAN MATA HATI~ bab 1
karya asli oleh: NOORJEHAN BT BAHARUDIN
diolah oleh: ZALINA BT BAHARUDIN

  Api menjulang tinggi meratah longgokan dedaun kering di halaman rumah Tok Ki. Asap berkepul-kepul naik menjulang ke udara. Sekali sekala asap tadi ditiup angin dan beralih arah. Jannah cepat-cepat melonggokkan daun-daun kering yang tidak terkena api dengan ranting kecil  di tangannya. Terasa perit wajahnya terkena bahang bakaran api. " Masya Allah! bagaimana agaknya tak tertahan panas bakaran api neraka. Bahangnya sahaja aku sudah terasa perit." Jannah bercakap sendiri.

     Leka sungguh Jannah membakar sampah sambil memerhatikan api dengan rakusnya meratah dedaun kering. Hampir separuh longgokan daun yang dikumpulkannya telah dijilat api. Sekali  sekala dia terbatuk-batuk kecil kerana terhidu asap yang dibawa angin ke arahnya. Dia teringat sebuah hadis kudsi Rasullullah yang berbunyi," Sesungguhnya HASAD DENGKI memakan amal kebaikan seperti api yang memakan kayu."

    Lamunannya terhenti kerana dia terdengar teriakan  Tok Ki memanggil-manggil namanya.'' Jannah, Jannah sudahlah tu, mari minum dengan Tok Ki dan nenek ni. Nenek kamu ada buatkan pengat pisang kesukaan kamu ni.''


     Terdengar sahaja pengat pisang, tanpa berlengah-lengah terus sahaja dia berlari-lari kecil meluru ke arah pangkin tempat Tok Ki nya  melepaskan lelah. Pangkin yang terletak di bawah pohon rambutan itu memang tempat Jannah duduk-duduk dengan Tok Ki dan nenek kesayangannya. Udaranya nyaman dan terlindung daripada terik matahari.
     Cuti-cuti sekolah begini memang dia akan pulang ke kampung menziarahi datuk dan nenek kesayangannya. Dia tidak mempunyai adik-beradik yang lain. Jika duduk di rumah pun tiada sesiapa yang menemaninya. Ibu dan ayahnya bekerja. Jadi, dia lebih gemar bermesra dengan datuk dan neneknya di kampung.

     '' Makanlah puas-puas Jannah pengat tu. Nenek memang buatkan khas untuk kamu,'' ucap nenek sambil menghulurkan semangkuk pengat pisang yang masih panas ke arah Jannah. Jannah menyambut huluran neneknya dengan senyuman lebar.

     '' Makan jangan lupa baca bismillah Jannah. Nanti kamu makan bertemankan SYAITAN,'' pesan Tok Ki. Memang dia hampir-hampir terlupa membaca bismillah. Mujur datuknya cepat-cepat mengingatkannya. Jannah menadah tangan dan berdoa." Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Ya Allah, berkatilah rezeki yang telah Engkau kurniakan kepada kami dan jadikanlah kami dalam kalangan orang-arang yang beriman." Jannah mengucapkan terima kasih kepada neneknya kerana membuatkannya pengat pisang yang sungguh enak.

     Suasana sunyi seketika kerana masing-masing leka menikmati pengat pisang buatan nenek. Hanya kedengaran sekali sekala ciapan burung dan kokokan ayam jantan yang memecah sunyi petang itu. Suara alam memang mengasyikkan. Siulan burung bersahut-sahut pulang ke sarang. Menyanyi lagu riang bersama kantung perut yang sarat berisi rezeki kurniaan Allah. Subhanallah. Maha Suci Allah yang menciptakan Alam dengan keindahan dan kenikmatan.
     Tiba-tiba Jannah bersuara," Tok Ki, Jannah rasa esok pagi nak ke air terjun di hujung kampung kitalah tok. Rindu betul Jannah nak menikmati dingin air terjun tok."

    Kamu nak pergi dengan siapa? Nak ke tempat begitu mesti bertemankan orang dewasa. Bahaya jika berseorangan, Jannah." Ada tanda gusar pada wajah Tok Ki. " Jangan risau tok, Jannahkan ada Allah dan tok yang setia menemani," balas Jannah.


    Tersenyum Tok Ki mendengar gurauan cucu tunggalnya itu. Neneknya pun turut tersenyum dan mengurut tanda lega. Cucunya ini memang ada-ada sahaja keletahnya. Sebab itulah bila Jannah tiada, Tok Ki dan neneknya terasa kesunyian di kampung.

       "Jadi,Tok Ki nak ikut Jannahlah ni? Marilah Tok, kita menikmati keindahan ciptaan Alam ciptaan Allah. Moga-moga bertambah iman kita tok," gurau Jannah sambilmengenyitkan mata,mengusik Tok Ki nya. Neneknya hanya melihat sahaja kerenah mereka berdua.

     '' Baiklah Jannah. Tok Ki ikut. Lagipun sudah lama Tok Ki tak ke sana. Betul kata Jannah, Allah memang menggalakkan kita memerhatikan alam ciptaan-Nya supaya kita yang diberi akal berfikir tentang kebesaran Allah," ucap Tok Ki kepada Jannah tanda setuju.

     " Tok, ustaz Jannah di sekolah juga pernah memberitahu , Allah menyuruh kita memerhatikan kejadian alam semesta. Antaranya kejadian langit yang tidak bertiang, gunung-ganang yang berdiri teguh dan bumi yang terhampar luas....kerana semua ciptaan Allah ni tanda kasih-Nya kepada manusia," ucap Jannah penuh semangat. Lagaknya seperti penceramah di televisyen.

     Tok Ki menambah," Lihatlah alam dengan mata hati Jannah," Tok Ki berhenti di situ. Sengaja dia tidak menerangkannya kepada Jannah. Biar Jannah tertanya-tanya bagaimana hendak melihat alam dengan mata hati. Biar Jannah berfikir. Biar Jannah merenung jauh memikirkan jawapannya.


bersambung........



Hak Cipta Terpelihara
      
    

     
    

~

~